Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Asas Pertolongan Cemas 2

Pengenalan kepada Teknik Pertolongan Cemas 2

Dalam tajuk ini anda akan mempelajari secara teori dan praktikal mengenai:

  1. Rawatan Tercekik.
  2. Rawatan Luka & Pendarahan.
  3. Rawatan Patah & Balutan.

 

Topik 1: Rawatan Tercekik

Insiden tercekik atau kehadiran benda asing yang menyekat saluran pernafasan bukan perkara baru, malah kerap kali berlaku dalam kalangan masyarakat. Tercekik susu, roti, mainan, ayam, daging, buah. Semuanya mungkin boleh berlaku di sekeliling kita, tanpa sedar. Sekiranya bertembung dengan mangsa tercekik berat, kita perlu ingat beberapa langkah berikut:

 

 

1. Sedar atau Pengsan

Lihat sama ada mangsa masih boleh memberi tindak balas atau tidak. Jika mangsa masih sedar, kita boleh tepuk atau pukul di bahagian belakang, di antara kedua tulang belikat. Tepuk sebanyak lima kali, sehingga bendasing yang tersumbat itu keluar.

 

 

2. Tekanan Abdomen

Jika bendasing yang tersumbat masih tidak keluar, lakukan tekanan abdomen. Ini yang kerap disebut sebagai Heimlich maneuver. Caranya adalah dengan membuat tekanan abdomen dengan berdiri di belakang mangsa (jika mangsa masih berdiri). Letakkan kaki anda di tengah-tengah (celah kaki mangsa) supaya kedudukan lebih stabil.

Dari belakang, letakkan genggaman tangan kanan di antara pusat dan bawah rusuk mangsa atau bahasa mudahnya di kedudukan butang ketiga (pakaian lelaki). Sokong dengan tangan kiri dan tarik ke atas. Tekanan diberi pada bahagian perut mangsa supaya dengan teknik itu, tekanan dalam paru-paru akan bertambah dan menolak bendasing keluar.

Langkah kedua hanya boleh dilakukan jika mangsa mengalami tercekik teruk dan masih dalam keadaan sedar serta boleh berdiri. Ulang langkah pertama dan kedua secara bergilir sehingga bendasing keluar. Sekiranya mangsa sudah kebiruan dan tidak sedar, kita perlu bersedia memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.

Ilmu kecemasan ini juga sebenarnya cukup berharga, terutama dalam membantu masyarakat memerlukan. Ada ramai di antara kita yang mahu membantu, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk menghulurkan bantuan. Jadi, jika mereka dapat belajar, bantuan boleh diberi dalam kalangan masyarakat sendiri, sebelum bantuan profesional tiba.

Bagaimanapun, belajar dengan cara dan teknik yang betul, daripada pihak yang berkelayakan. Ini penting kerana jika bantuan disampaikan salah, ia boleh memburukkan kecederaan mangsa.

Satu peringatan berharga untuk semua, jika kita berdepan kecemasan, cubalah hulurkan bantuan dan bukannya mengambil gambar. Besar kemungkinan, gambar yang tersebar di media sosial boleh menjejaskan emosi mangsa dan keluarga, mengganggu petugas kecemasan memberi rawatan sebenar dan mengaibkan pihak berkaitan.

 

Teknik Rawatan Tercekik:

 

 

Tentukan posisi untuk tekanan abdomen.

 

Teknik gengaman yang betul

 

Dari belakang, letakkan genggaman tangan kanan di antara pusat dan bawah rusuk mangsa.

 

 

Sokong dengan tangan kiri dan tarik ke atas.

 

 

Topik 2: Rawatan Luka & Pendarahan.

 

 

Definisi

Luka ialah sejenis kecederaan kepada tisu-tisu badan yg mengakibatkan pengaliran darah dibahagian luar atau dalam badan disebabkan oleh alat yang tajam atau tumpul.

 

Jenis-jenis luka:

  1. Luka terbuka
  2. Luka tertutup

 

Rawatan

  1. Luka-luka kecil.
  • Memerlukan pembalutan kecil seperti plaster sahaja.
  • Perlu dicuci untuk mengelakkan risiko jangkitan kuman.

Langkah-langkah rawatannya adalah:

  1. Bersihkan tangan dengan sabun.
  2. Jangan sentuh luka dengan tangan yang kotor.
  3. Cuci luka supaya tidak dijangkiti kuman.
  4. Keringkan dengan menggunakan tisu atau tuala yang di steril.
  5. Lekatkan plaster mengikut saiz luka.
  6. Jangan bercakap atau batuk ke arah luka yang terbuka.
  7. Gunakan pembalut untuk memegang plaster.

 

  1. Luka kecil yang ada benda asing.
  • Sekiranya ada benda asing yang sukar untuk dikeluarkan dari luka seperti kaca yang terbenam atau objek-objek lain, jangan keluarkan objek tersebut.
  • Tindakan ini akan mengakibatkan lebih banyak kerosakan pada tisu dan pendarahan.
  • Matlamat rawatan adalah untuk mencegah pendarahan tanpa menekan atau mencabut objek dan mendapatkan rawatan perubatan pakar.

Langkah-langkah rawatannya adalah:

  • Bersihkan tangan dengan sabun.
  • Jangan sentuh luka dengan tangan yang kotor.
  • cuci luka supaya tidak dijangkiti kuman.
  • Keringkan perlahan-lahan menggunakan tisu atau tuala yang telah disteril.
  • kawal pendarahan dengan menggunakan tekanan yang teguh ke atas kedua-dua bahagian atau sekitar tepi objek.
  • Tutup luka dengan sekeping pembalut kasa untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman.
  • Kemudian buat balutan sekeliling objek sehingga boleh membalut tanpa menekan objek.
  • Bawa mangsa ke hospital dengan segera.

 

Jenis-jenis Pendarahan

Pendarahan kecil : Terbahagi kepada 3 iaitu:

  1. Pendarahan eksternal (dibahagian luar).
  2. Pendarahan internal (dibahagian dalam).
  3. Pendarahan internal tanpa kesan.

 

Teknik menahan pendarahan :

  1. Tekanan tepat
  • Tekan terus pada luka tersebut dengan kain bersih, jika tiada apa-apa benda pada luka atau luka tidak disertai dengan patah.
  • Pembebatan (dressing) sebaik-baiknya gunakan kain / bahan yang disterilkan.
  • Pada keadaan mendesak, tangan kosong boleh juga digunakan dengan menekan pada tempat berdarah.
  • Gunakan pembalut (bandage) untuk memegang pembebat.
  • Penekanan hendaklah dikekalkan sampai darah berhenti biasanya 10 – 15 minit.

 

  1. Tekanan Tidak Tepat
  • Tekan pada urat nadi.
  • Gunakan ikatan penjerut (tourniquet).
  • Jangan biarkan ikatan penjerut lebih dari 15 minit.
  • Komplikasi penggunaan cara ini ialah boleh menyebabkan kecederaan pada otot, saraf dan pembuluh darah jika terlalu ketat.
  • Ikatan yang longgar pula akan memburukkan lagi pendarahan.
  • Ikatan yang lupa dilonggarkan sehingga beberapa jam akan menyebabkan anggota mati dan terpaksa dipotong.
  • Gunakan kaedah ini jika anda mahir dengan ikatan tersebut.

 

  1. Sekiranya Anggota Terputus
  • Kawal darah dari berterusan keluar.
  • Bahagian putus hendaklah dibungkus dengan kain kasa yang basah, sebaik-baiknya dibasah dengan air garam isotonik yang bebas kuman.
  • Masukkan anggota putus dalam bekas plastik.
  • Masukkan plastik tersebut ke dalam satu lagi bekas plastik yang mengandungi ketulan ais.
  • Jangan rendam anggota putus secara langsung ke dalam ais.
  • Hantar mangsa segera ke hospital.

 

 

Pengenalan kepada pembebatan dan pembalutan.

 

Definisi

Pembebatan adalah diperbuat daripada jenis kain kasa yang boleh digunakan untuk menutup luka.

 

Fungsi pembebat dan balutan adalah:

  1. Mencegah jangkitan kuman
  2. Menyerap kotoran yang keluar seperti tanah dan darah
  3. Mengawal pendarahan dan melindungi luka

 

Jenis-jenis pembebatan ialah:

  1. Paraffin – biasanya digunakan untuk luka besar
  2. Pembebat melekat – plaster, digunakan untuk luka kecil
  3. Pembebat berubat – kain kasa yang disapu ubat pembunuh kuman
  4. Pembebat biasa – gauze (Kain kasa)

 

 

 

 

Peraturan membalut:

  1. Bersihkan tangan dengan sabun. Jangan sentuh luka dengan tangan kotor.
  2. Cuci luka dari tempat luka ke arah keluar supaya kuman tidak masuk ke kawasan luka.
  3. Lekatkan pembebat mengikut saiz luka. Jangan bercakap atau batuk ke arah tempat luka.
  4. Gunakan pembalut untuk memegang pembebat.

 

Jenis-jenis pembalut yang biasa ialah :

  1. Pembalut bergulung – berasal dari kain kasa, WOW bandage
  2. Pembalut segi tiga, lebar dan tirus – terdiri dari kain segi tiga dari jenis kain kaliko
  3. Pembalut cincin – diperbuat dari pembalut tirus.
  4. Pembalut kain krep – biasanya digunakan untuk kes terseliuh.

 

 

 

 

Topik 3: Rawatan Patah dan Anduh.

 

Definisi

Sebarang kepatahan atau keretakan pada tulang.

 

Sebab Patah

  1. Kekuatan hentakan tepat (direct force)
  2. Kekuatan hentakan sipi (indirect force)

 

Jenis-jenis kepatahan:

  1. Patah tebu (Green stick fracture) | Kepatahan separa di mana tulang patah dan membengkok. Darah tidak mengalir keluar dan selalu terjadi kepada kanak-kanak.
  1. Patah remuk (Comminuted) | Kepatahan tulang yang menjadi serpihann kecil akibat dari impak yang sangat kuat.
  1. Patah melintang (Tranverse) | Kepatahan yang mendatar atau merentas disebabkan oleh aktiviti yang sangat lasak.
  1. Patah terpusing (Spiral) | Kepatahan yang disebabkan dari daya putaran yang kuat dan menghasilkan kepatahan seperti “spring”.
  1. Patah menyerong (Oblique) | Kepatahan yang bersudut tajam yang disebabkan dari hentakan kuat secara tiba-tiba.
  1. Patah lesung (Impacted) | Kepatahan yang tulangnya cucuk-mencucuk antara satu sama lain. Kepatahan yang terjadi akibat terjatuh dari tempat yang tinggi dan terpecah dari pelbagai sudut.

 

Tanda-tanda mangsa mengalami kepatahan

  1. Rasa sakit pada bahagian tulang, sendi atau otot.
  2. Mangsa mendengar bunyi atau merasa tulang patah.
  3. Tidak berupaya menggerakkan anggota cedera.
  4. Bunyi atau terasa geselan hujung tulang yang tak normal.
  5. Keadaan bengkak atau warna kebiruan pada tulang,sendi atau otot.
  6. Bentuk, kedudukan atau pergerakan sendi tidak normal.

 

Prinsip Rawatan Secara Am.

Prinsip rawatan untuk kecederaan patah adalah seperti berikut :

  1. Memberi rawatan segera sekiranya berlaku keadaan yang mengancam nyawa seperti gangguan pernafasan dan pendarahan yang banyak.
  2. Jangan pindahkan pesakit kecuali nyawanya terancam. Lakukan rawatan ditempat kejadian.
  3. Kurangkan kesemua pergerakan mangsa dan anggota yang cedera. Jangan cuba meluruskan bahagian yang cedera. Sekiranya kulit dibahagian patah terluka, jangan sentuh. Tutup dengan kain yang bersih.
  4. Haling / ampu pergerakan anggota yang patah menggunakan belat (splin), anduh dan pembebat.
  5. Periksa denyutan nadi seberapa kerap yang boleh dan pastikan jari jari tangan tidak menjadi kebas akibat pembebatan yang terlalu ketat.

 

 Finger Splin

© 2016-2020 derekacreative. All Rights Reserved.