Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Asas Simpulan & Ikatan

Pengenalan Kepada Tali & Kegunaannya

Dalam tajuk ini anda akan mempelajari secara teori dan praktikal mengenai:

  • Pengenalan Kepada Tali dan Jenis-jenisnya.
  • Jenis-jenis Simpulan & Ikatan Serta Kegunaannya


Topik 1: Pengenalan kepada Tali Dan Jenis-jenisnya.

Pada umumnya, topik simpulan dan ikatan ini merupakan satu topik yang begitu luas untuk dipelajari. Ini kerana setiap jenis tali dan jenis sesuatu simpulan yang menghasilkan sesuatu ikatan mempunyai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri.

Untuk peringkat asas ini, cukup untuk anda mempelajari dan menguasai ilmu asas mengenai apa itu tali dan jenis-jenisnya serta mampu menghasilkan simpulan untuk tujuan menyambung, mengikat, menambat dan menyumbat.

Secara kesimpulannya kegunaan tali terbahagi kepada 3 kategori iaitu:

  1. Kegunaan untuk aktiviti rekreasi.
  2. Kegunaan untuk aktiviti menyelamat.
  3. Kegunaan untuk aktiviti harian.

Dalam topik ini, anda akan didedahkan mengenai kegunaan tali untuk aktiviti rekreasi terutamanya aktiviti perkhemahan. Ini kerana untuk aktiviti rekreasi tali tinggi seperti abseiling, reppelling, flying fox dan sebagainya, ia akan diterangkan di dalam topik yang lain, kerana ia melibatkan peralatan tambahan dalam pengendaliannya. 

Sejarah menunjukkan tali telah wujud sejak awal penciptaan manusia, ia telah wujud sejak zaman batu di mana tali digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuklah mencantumkan batu dengan kayu bagi menghasilkan senjata seperti kapak, lembing dan sebagainya.

Penciptaan tali pada awalnya ialah dari bahan-bahan semulajadi dan ia berinovasi dari zaman ke zaman. Sehingga kini , terdapat pelbagai jenis tali mengikut kegunaannya.

 

Jenis-jenis tali.

  1. Tali Natural (tali semulajadi)
  2. Tali Artificial (tali buatan manusia)

Tali semulajadi diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi seperti :

  1. Manila (sejenis tumbuhan - Pokok Abaca)
  2. Sisal (sejenis tumbuhan)
  3. Hemp
  4. Flax (sejenis tumbuhan)
  5. Cotton (Kapas)
  6. Coir (sabut)

 

Pokok Abaca

 

Manila Hemp (Pokok Abaca)

 

Pokok Sisal

Tali Sisal

Pengenalan mengenai tali semulajadi dan proses menghasilkannya penting kerana ia amat berguna sewaktu kita melakukan aktiviti rekreasi terutamanya aktiviti perkhemahan apatah lagi semasa berlakunya situasi darurat seperti sesat di dalam hutan atau kita berada di dalam situasi iktihar hidup. Bahan-bahan lain seperti akar kayu dan rotan juga boleh digunakan sebagai tali.

 

Tali Artificial (Tali Buatan) diperbuat daripada bahan-bahan seperti:

  1. Nylon (Kernmantel)
  2. Polyester
  3. Polypropylene
  4. Kevlar

Tali-tali jenis artificial ini boleh dibeli di kedai-kedai yang menjual peralatan rekreasi atau kedai yang menjual peralatan untuk aktiviti tali tinggi. Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai jenis tali artificial ini dari segi kekuatan, ketahanan dan sebagainya, anda boleh terus melakukan pembacaan di sini.

Tali Nylon (Kernmantel)

Di dalam topik Asas Tali Tinggi nanti, anda akan didedahkan dengan jenis tali nylon (kernmental) dengan lebih terperinci di mana ia terbahagi kepada 2 jenis, iaitu tali dinamik dan tali statik.

 


 

Topik 2 : Jenis-jenis Simpulan.

Penggunaan tali adalah berkait rapat dengan kaedah simpulan yang diaplikasikan ke atasnya. Setiap simpulan mempunyai kegunaan yang berbeza mengikut keperluan. Secara umumnya terdapat 8 kategori simpulan mengikut kegunaan iaitu:

  1. Bends (Simpulan untuk menyambung)
  2. Binding Knots (Simpulan untuk mengikat)
  3. Hitches (Simpulan untuk menambat)
  4. Loops (Simpulan untuk menghasilkan gelungan)
  5. Slip Knots (Simpulan untuk tujuan gelinciran)
  6. Splices (Simpulan untuk menghasilkan belahan)
  7. Stopper Knots (Simpulan untuk menyumbat atau menghentikan)
  8. Trick & Fancy Knots (Simpulan untuk helah & tujuan dekorasi)

Seperti yang telah saya terangkan di awal artikel ini, untuk mempelajari dan menguasai kesemua kategori simpulan ini mengambil masa yang lama dan perlu diamalkan secara konsisten. Pada peringkat asas ini, anda hanya perlu mempelajari simpulan dari beberapa kategori sahaja.

Pada hakikatnya, simpulan akan menghasilkan ikatan. Ikatan tidak akan terjadi tanpa adanya simpulan. Simpulan dan ikatan saling berkait antara satu sama lain dan ia tidak dapat dipisahkan.

Untuk mempelajari simpulan bagi tujuan aktiviti rekreasi, beberapa jenis simpulan telah dikenalpasti dari kegunaannya. Sebagai contoh dalam aktiviti perkhemahan, tali digunakan untuk mengikat khemah pada pancang (spike), memasang hammock pada pokok, menghasilkan gajet dan sebagainya.

Manakala dalam aktiviti jungle trekking, tali digunakan untuk menuruni cerunan atau merentas sungai. Tali juga gunakan dalam aktiviti ikhtiar hidup seperti memasang jerat dan membina rakit.

Berlainan dengan aktiviti rekreasi tali tinggi, ia memerlukan beberapa kelengkapan tambahan dan jenis tali yang khas untuk aktiviti tersebut. Pada kebiasaanya pengendali bagi aktiviti tali tinggi ini adalah dari mereka yang terlatih dan mempunyai tauliah dari badan berwajib.

Pastinya bagi setiap penggunaan tali ini melibatkan jenis-jenis simpulan dari 8 kategori yang telah dibincangkan di atas tadi. Antara ciri-ciri simpulan yang baik ialah:

  • Ikatan atau simpulan itu kemas.
  • Ikatan atau simpulan itu mudah dibuka atau dileraikan.
  • Ikatan atau simpulan itu kuat dan kukuh.
  • Ikatan atau simpulan itu tidak bertindih antara satu sama lain.

Tanpa membuang masa lagi, mari kita belajar beberapa jenis kategori simpulan yang biasanya digunakan dalam aktiviti rekreasi.

 

#01 Stopper  = Simpulan penghenti atau penyumbat

Simpulan jenis ini adalah simpulan yang diikat di tali untuk mengelakkan tali tersebut mengurai atau bertujuan menghentikannya daripada melewati bukaan kecil (menyumbat). Ia juga berfungsi sebagai grip (pemegang) untuk aktiviti wall climbing atau rock climbing.

Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Overhand knot.

 

Figure of Eight knot.

 


 

#02 Kategori Bends = Simpulan untuk menyambung.

Yang dimaksudkan menyambungkan di sini ialah lebih kepada menyambungkan dua tali. Kegunaan bends ini terbahagi kepada 2 jenis.

  1. Menyambungkan dua tali yang sama saiz dan material.
  2. Menyambungkan dua tali yang tidak sama saiz dan material.

Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Fisherman’s Bend.

Mula dicipta dan digunakan pada kurun ke-19 dan mempunyai banyak nama antaranya seperti English Knot, The Englishman’s knot, the Water Knot, the waterman’s knot dan Halibut knot. Fisherman’s Bend sangat sesuai untuk menyambungkan dua jenis tali yang sama besar atau sama material.

 

Sheet Bend.

Sheet bend telah dicipta pada kurun ke-18 yang popular digunakan untuk menyambungkan tali ke bendera. Sheet bend sangat sesuai digunakan untuk menyambungkan dua tali yang tidak sama saiz atau material.

 


 

#03 Binding Knot = Simpulan untuk mengikat.

Simpulan yang digunakan untuk mengikat atau memegang sesuatu objek bersama di satu tempat. Sekiranya kita ingin mengikat tali pada sesuatu, maka simpulan jenis ini perlu diaplikasikan.

Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Reef Knot.

Reef knot atau dalam bahasa melayunya Buku Sila sangat popular dan banyak diajar sekolah. Namun tahukah anda apakah kegunaan reef knot atau buku sila ini?

Selain ia juga boleh digunakan untuk menyambungkan 2 tali yang sama besar atau diameter ia sebenarnya digunakan untuk tujuan mengikat. Reef knot banyak digunakan dalam bidang perubatan termasuk digunakan untuk mengikat kain anduh.

 

Kegunaan reef knot dalam rekreasi selalunya adalah untuk mengikat karung atau beg seperti karung sampah, kerana ia adalah simpulan yang paling mudah untuk dibuka tutup.

 

Boa Knot / Constrictor Knot.

Selain dari fungsinya yang sama dengan reef knot untuk mengikat karung atau beg (lebih selamat), simpulan ini juga biasanya digunakan untuk membina tangga.

 

 

Dalam rekreasi, selain dari kita boleh turun atau naik menggunakan tali (teknik reppelling/abseiling), kita juga boleh membina tangga supaya memudahkan kita turun dan naik di sesuatu cerunan.

 

 


 

#04 Hitches = Simpulan untuk tujuan menambat.

Simpulan untuk menambat ialah satu simpulan yang akan mengikat tali ke objek yang tidak bergerak seperti carabiner, rail, post atau ring. Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Clove Hitch.

Simpulan ini banyak digunakan dalam aktiviti rekreasi terutamanya rekreasi tali tinggi kerana ia mudah dihasilkan dan mudah dileraikan. Simpulan ini juga boleh dihasilkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Clove hitch juga sangat sesuai untuk membuat anchor.

 

Bagaimana menghasilkan clove hitch dengan menggunakan sebelah tangan?

 

Half Hitch.

Simpulan yang paling mudah untuk menambat atau menggantung sesuatu. Aktiviti rekreasi air seperti kayak, rakit dan kenu banyak menggunakan simpulan ini untuk menambat kayak, rakit atau kenu yang digunakan. Selain dari itu, simpulan ini juga boleh digunakan untuk menambat haiwan.

Semasa aktiviti perkhemahan pula, menggantung makanan seperti beras, daging dan sebagainya yang bertujuan supaya ia selamat dari dimakan serangga atau binatang juga turut menggunakan simpulan ini.

 


 

#05 Loops = Simpulan untuk menghasilkan gelungan.

Simpulan yang dibuat untuk menghasilkan satu atau lebih gelungan. Gelungan tersebut boleh mengetat apabila ditarik dan juga ada jenis yang kekal dan tidak mengetat apabila ditarik. Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Overhand Loop.

Antara simpulan yang paling ringkas untuk dihasilkan. Ia menjadi lebih kukuh dengan menggandakan simpulan tersebut menjadi double overhand loop.

 

Bowline.

Simpulan yang biasa digunakan untuk aktiviti menyelamat. Ini kerana gelungan yang terhasil tidak akan mengetat walaupun ditarik dengan bebanan yang berat.

 

Noose Knot.

Simpulan untuk menjerut. Mampu mengetat apabila ditarik dengan bebanan.

 


 

#06 Slip Knots = Simpulan untuk gelinciran

Simpulan ini juga dikenali sebagai running knot dan terbahagi kepada 2 kategori utama iaitu.

  1. Simpulan yang digunakan untuk mengikat tali ke objek tertentu dan pada masa yang sama akan mengetat apabila salah satu bahagian tali ditarik dan akan terbuka apabila satu bahagian lain ditarik.
  2. Simpulan yang digunakan untuk mengikat ke tengah tali dan kemudiannya membolehkan tali tersebut menggelongsor di sepanjang tali sama ada dalam satu arah mahupun pada kedua-dua arah.

Antara jenis simpulan yang termasuk dalam kategori ini antaranya ialah:

 

Slip Knot

 

Highwayman's Hitch

Simpulan yang digunakan untuk meleraikan ikatan dengan cepat dan pantas.

 

Prussik Knot

Simpulan yang tidak asing lagi bagi pendaki gunung atau dalam rekreasi tali tinggi.  

 

Kesimpulan

14 jenis simpulan asas yang perlu anda pelajari dalam aktiviti asas rekreasi. Kesemua simpulan ini boleh diubahsuai atau digabungkan dengan simpulan yang lain untuk kegunaan yang lain.

© 2016-2020 derekacreative. All Rights Reserved.