Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Asas Pertolongan Cemas 1

Pengenalan kepada Teknik Pertolongan Cemas 1

Dalam tajuk ini anda akan mempelajari secara teori dan praktikal mengenai:

  • Pengenalan Kepada Pertolongan Cemas.
  • Pengenalan Kepada Cardio Pulmonary Resuscitation [CPR].
  • Pengenalan Kepada Peti Pertolongan Cemas Untuk Rekreasi.

Topik 1: Pengenalan Kepada Pertolongan Cemas

 

Definisi

Rawatan atau bantuan awal yang diberikan kepada mangsa sebelum bantuan pakar perubatan tiba. Bantuan yang diberikan oleh orang yang dilatih dan mempunyai pengetahuan asas perubatan. 

Definisi kecemasan pula adalah satu keadaan yang berlaku di mana kebanyakkan daripada kita tidak berada di dalam keadaan bersedia.

 

Antara Objektif Pertolongan Cemas ialah:

  1. Untuk menyelamatkan nyawa.
  2. Untuk mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk.
  3. Untuk mengurangkan kesakitan atau penderitaan mangsa.

Situasi Pertolongan Cemas:

  1. Mangsa sedarkan diri (terluka, terpotong, terhiris, sengatan, patukkan, patah, terbakar dsb)
  2. Mangsa tidak sedarkan diri (lemas, tercekik, sesak pernafasan dsd)

 

Topik 2 : Pengenalan Kepada Cardio Pulmonary Resuscitation [CPR]

 

Sejarah

Sejarah telah menunjukkan berbagai kaedah telah dicuba oleh manusia untuk tindakan ketika kecemasan sejak 1770 lagi. Antara kaedah yang pernah digunakan ialah:

  1. Menterbalikkan mangsa dengan kaki ke atas.
  2. Menggelek mangsa di atas tong.
  3. Menarik lidah dan sebagainya.

Bagaimanapun, bermula tahun 1973, kaedah CPR telah diperkenalkan dan semenjak  dari itu, berbagai-bagai kajian dilakukan secara saintifik untuk membuktikan keberkesanan CPR dan bagaimana untuk menambah baik kaedah CPR tersebut.

Pada tahun 2005, CPR telah dipermudahkan untuk orang awam dan menjadi lebih mudah dilakukan dengan keutamaan diberikan pada tekanan dada (chest compression) sahaja. (tanpa bantuan pernafasan mulut ke mulut).

 

Masa Untuk CPR

CPR hanya dilakukan apabila seorang mangsa berhenti bernafas dan jantungnya juga tidak berdenyut. Justeru, CPR tidak boleh dilakukan kepada mangsa yang pitam, pengsan, hipoglisemia (rendah gula dalam badan), angin ahmar (strok) dan sebagainya selagi mereka masih bernafas dan jantung masih berdenyut.

Jika CPR dilakukan juga, ia boleh menjejaskan rentak deyutan jantung dan dikhuatiri memudaratkan lagi keadaan mangsa.

 

Kematian

Kematian secara umumnya ditakrifkan sebagai keadaan di mana mangsa tidak bernafas dan jantung tidak berdenyut, ia boleh dibahagikan kepada 2 fasa:

  1. Kematian Klinikal yang bersifat sementara.
  2. Kematian Biologikal yang bersifat kekal.

Kematian Klinikal berlaku dalam tempoh 4 hingga 6 minit pertama ketika jantung dan nafas mula-mula terhenti.

Jika tiada sebarang bantuan diberikan dalam tempoh masa ini, sel-sel otak akan mula mati dan jika ia berterusan sehingga 10 minit, mangsa tersebut akan memasuki fasa kematian biological yang bersifat kekal.

Objektif CPR ialah untuk menggelakkan kematian sel-sel otak dan menghalang mangsa daripada memasuki fasa kematian biological yang bersifat kekal.

 

Antara faktor-faktor yang menentukan mangsa terselamat atau tidak ialah:

  1. Ada orang yang melihat kejadian tersebut dan mengambil tindakkan susulan yang betul.
  2. Kualiti bantuan hayat yang diberikan kepada mangsa.
  3. Rentak denyut jantung semasa kejadian. Rentak ‘ventricular fibrillation’ mempunyai peluang yang lebih baik.
  4. Umur, kanak-kanak mempunyai peluang yang lebih baik daripada orang tua.
  5. Penyakit-penyakit lain seperti angin ahmar, diabetes dan jangkitan kuman dalam darah.

 

Teknik Melakukan CPR

Salah satu bantuan kecemasan yang dipanggil pemulihan pernafasan dan Jantung.

Kaedah Bantuan Penafasan [ DRCAB ]

D : Danger |  Periksa kawasan kejadian untuk kenalpasti bahaya yang boleh mendatangkan kecederaan pada anda atau mangsa.

R : Response | Tepuk bahu mangsa dan tanya “Adakah anda OK?” Jika tiada tindak balas, jerit “Tolong” dan minta seseorang hubungi 999 untuk mohon bantuan kecemasan. Periksa pernafasan mangsa.

C : Circulation / Chest compression | Jika mangsa tidak bernafas, berikan tekanan pada dada sebanyak 30 kali

A : Airway | Buka saluran pernafasan mangsa dengan cara menolak dagu untuk mendongakkan kepala mangsa.

B : Breathing | Picit hidung mangsa, berikan bantuan pernafasan sebanyak 2 kali hembusan dan pastikan dada mangsa naik

 

Ulang C.A.B sehingga:

A – Ambulans tiba

R – Revive / mangsa pulih

E – Exhausted / Penat

A – Automated External Defibrillator (AED)

(Berhenti semasa AED memberikan renjatan dan sedang menganalisa ritma jantung)

  

Apakah yang dimaksudkan dengan Kualiti Bantuan Hayat?

Bantuan yang berkualiti memberi penekanan kepada seberapa cepat bantuan CPR dapat diberikan kepada mangsa. Semakin cepat bantuan CPR diberikan, semakin tinggi kualiti bantuan hayat tersebut dan semakin tinggi peluang untuk menyelamatkan mangsa.

Selain daripada itu, teknik CPR yang betul juga merupakan satu kualiti penting dalam bantuan hayat. Teknik bantuan mulut ke mulut dan tekanan dada dalam nisbah 2:30 adalah teknik terkini dan terbukti berkesan secara saintifik

Tekanan dada juga memerlukan tekanan yang agak kuat dan cepat (push hard, push fast) dan dilakukan secara terus menerus. CPR hendaklah dilakukan secara berteruskan sehingga kita kepenatan atau ada orang yang boleh membantu.

Justeru itu,semakin ramai yang tahu melakukan CPR, semakin tinggi kualiti CPR yang dapat diberikan kepada mangsa atau keluarga tersayang jika berlaku sebarang kecemasan.

 

 

Faktor penting yang turut menentukan kualiti bantuan hayat ialah berapa cepat bantuan defibrillasi dapat diberikan kepada pesakit. Defibrillasi ini dapat dilakukan dengan pantas sekiranya terdapat Defibrilasi Eksternal secara automatic atau AED (Automated External Defibrillator)

AED sebenarnya direka untuk digunakan oleh orang awam agar bantuan hayat yang berkualiti dapat diberikan secepat mungkin.

Sumber : Dr.Kamarul Aryffin Baharuddin | Pakar Perubatan Kecemasan | Hospital Universiti Sains Malaysia.

 

Topik 3: Pengenalan Kepada Peti Pertolongan Cemas

Definisi peti pertolongan cemas ialah bekas atau tempat penyimpanan pelbagai jenis ubat-ubatan dan peralatan kecemasan. Peti kecemasan adalah perkara wajib yang perlu disediakan atau dibawa semasa melakukan aktiviti yang mempunyai risiko. 

 

Antara peralatan yang ada di dalam peti pertolongan cemas ialah:

BIL

PERALATAN

KEGUNAAN

1.

Triangular bandage (kain anduh)

Untuk mengampu bahagian yang tercedera.

2.

Sterile eye pad

Melindungi mata yang tercedera atau terkena bendasing

3.

Non-sterile gauze / Sterile gauze

Melakukan pencucian atau pembebat luka.

Membuat balutan atau memberi tekanan pada perdarahan dan menstabilkan kepatahan.

4.

 

Elastic bandage/crepe bandage/Roller bandage

 

Menstabilkan kecederaan/ kepatahan/ untuk membalut luka dan juga kecederaan ringan.

Contoh:

dislocation(terseliuh)

5.

Glove-disposable/nonsterile

Melindungi diri dari sebarang cecair badan dan sumber jangkitan.

6.

Gunting

Memotong gauze atau bandage.

7.

Adhesive tape

Melekatkan balutan dan pembebat.

8.

Sterile multi-trauma dressing/ gauze

Melakukan pencucian/pembebatan luka

9.

Alcohol prep pads

Mencuci sebarang bendasing/kekotoran pada luka sebelum membalut.

10.

Cotton buds

Mencuci luka pada kawasan yang sukar.

11.

Acriflavine (ubat kuning)

Untuk antiseptic membunuh kuman.

12.

Dettol (boleh diganti dengan Normal Saline solution 0.9%)

Antiseptik dan digunakan sebagai cucian luka luar.

13.

LMS solution (minyak kuda)

Melegakan kesakitan otot.

 

Selesai sudah perkara-perkara yang mencemaskan, kita tenangkan minda kejap dengan layan lagu ini, jangan lupa pasang ear phone kalau nak rasa meremang bulu roma tu ye. Sedap lagi penyanyi ni bawa dari penyanyi asal dia. oppss.... :)

 

© 2016-2020 derekacreative. All Rights Reserved.