Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kronologi Pereka Grafik

Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Terima kasih kepada semua pembaca blog derekacreative.com dan juga syahrulasriomar.blogspot.my yang tak jemu-jemu menyokong penulisan saya yang tak seberapa ini. Terima kasih banyak-banyak dan saya berharap kalian terus menyokong karya tempatan.

Ada yang bertanya, apa beza antara info yang dikongsi di derekacreative.com dan info di syahrulasriomar.blogspot.my? Tiada perbezaan yang ketara, namun terdapat persamaan antara keduanya iaitu ia menceritakan berkenaan dengan industri rekaan grafik di Malaysia.

 

 

Perbezaan mungkin dapat dilihat pada satu perkara iaitu:

  1. Blog derekacreative lebih kepada perkongsian tutorial dan isu rekaan grafik.
  2. Blog syahrulasriomar lebih berkisarkan tentang peluang pendidikan dalam rekaan grafik.

Perkongsian demi perkongsian telah saya coretkan dalam catatan blog di kedua-dua platform berkenaan, namun bagi mereka yang baru sahaja terjumpa blog ini, berikut merupakan kronologi pembacaan untuk anda lebih mudah memahami dunia rekaan grafik di Malaysia atau kronologi seorang pereka grafik.

 

Kronologi #01 | Pengenalan

Seperti biasa, ayat tak kenal maka tak cinta merupakan analogi kepada setiap permulaan sesuatu perkara. Definisi ‘grafik’ perlu difahami oleh setiap mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia rekaan grafik. Grafik dipetik dari perkataan graphikos yang membawa makna melukis dan menulis. Artikel penuh mengenainya ialah:

Artikel 01 | Fungsi & Peranan Rekaan Grafik.

 

Kronologi #02 | Langkah Pertama

Setiap perkara dimulakan dengan langkah pertama, dalam sistem pendidikan di Malaysia, setiap pelajar akan menduduki peperiksaan besar seperti UPSR (Sekolah Rendah) PT3 (Tingkatan 3), SPM (Tingkatan 5) dan STPM (Tingkatan 6) (pilihan). Jadi, dimana bermulanya kronologi pereka grafik itu?

Artikel 02| Nama & Tempat Bermulanya Seorang Pereka Grafik

Dari sini lah bermula nya langkah pertama. Melanjutkan pengajian dalam jurusan rekaan grafik merupakan pilihan yang terbaik sebagai langkah permulaan untuk mempelajari rekaan grafik dan seterusnya menjadi seorang pereka grafik.

 

Sekiranya anda ingin bermula dengan keputusan PMR @ PT3 sila baca artikel ini.

Artikel 03 | TVET Malaysia | Aliran Pendidikan Kemahiran

 

Sekiranya anda ingin bermula dengan keputusan SPM, sila baca artikel ini

Artikel 04 | Langkah Pertama Ceburi Bidang Rekaan Grafik

 

Tahniah kepada anda yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat IPTA atau IPTS. Apabila sudah menjejakkan kaki di alam universiti, perkara yang perlu anda lakukan ialah sentiasa membuat persediaan untuk menghadapi setiap ujian dan cabaran yang mendatang.

 

 

Antara tips-tips yang boleh anda praktikkan sebagai pelajar ialah:

Artikel 05 | Tips Lain Macam Pelajar Rekaan Grafik

Semasa di alam universiti, dugaan dan cabaran ada kalanya terlalu mencabar, kecekalan dan ketabahan serta semangat tidak mudah mengalah perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar. Andai anda mengalami kemurungan. Lengkapkan diri anda dengan motivasi pembakar semangat.

Artikel 06 | 06 Nasihat Berguna Untuk Mahasiswa

Jangan mudah berputus asa, sentiasa dekatkan diri dengan yang Maha Esa supaya setiap permasalahan diberi jalan penyelesaian yang terbaik. Sentiasa 'renew' niat anda yang ingin menuntut ilmu demi keluarga, agama dan negara. InshaAllah, segala cabaran dan dugaan bakal anda harungi dengan jayanya. 

 

Kronologi #03 | Langkah Kedua

Di akhir pengajian, pada kebiasaanya anda dikehendaki menjalani latihan internship sabagai satu syarat bergraduasi. Selain ia menjadi medium menguji kemahiran yang telah dipelajari, latihan internship juga merupakan satu pendedahan yang holistic sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Salah memilih syarikat atau mentor semasa latihan internship bakal mengundang mimpi ngeri.

Artikel 07 | 07 Checklist Memilih Latihan Internship

Semasa menjalani latihan internship, ia merupakan langkah pertama untuk menyediakan diri anda ke dunia pekerjaan. Adalah sangat digalakkan untuk anda mula mempersiapkan diri anda seperti menghasilkan resume yang lengkap dan memperkemaskan portfolio semua hasil kerja anda.

Resume merupakan senjata yang paling penting dalam 'peperangan' merebut pekerjaan. Penghasilannya memerlukan ilmu yang cukup demi 'ketajaman' menghadapi saringan penemuduga. Berikut adalah jenis-jenis resume yang perlu anda tahu.

Artikel 0806 Jenis Resume

Setiap artwork yang anda hasilkan bagaikan modal untuk anda memulakan kerjaya dalam bidang rekaan grafik ini. Cara bagaimana anda mempersembahkan semua hasil kerja perlu diberi perhatian kerana ianya merupakan salah satu kriteria yang penting. 

Artikel 09 | 04 Kelebihan Digital Portfolio.

Mengikut pengalaman penulis, kebanyakkan dari graduan rekaan grafik memulakan kerjaya pertama mereka di syarikat internship masing-masing. Mereka biasanya terus ditawarkan pekerjaan tetap hasil dari prestasi yang baik semasa menjalani latihan internship tersebut.

Disebabkan itulah, latihan internship merupakan perkara yang penting dan perlu diberi perhatian secara serius. Pilihlah syarikat yang memang anda ingin bekerja di dalamnya supaya semangat yang kuat muncul dalam diri anda.

 

 

Kronologi #04 | Kerjaya

Selepas anda bergraduasi dan menerima skroll masing-masing, seterusnya mencari pekerjaan merupakan matlamat utama anda. Namun ia merupakan satu perkara yang amat mencabar. Pelbagai usaha perlu dilakukan demi mendapatkan pekerjaan yang diharapkan.

Hakikatnya, persaingan yang sengit bakal dihadapi oleh semua graduan lepasan universiti. Selain dari menjadi seorang pereka grafik di sektor swasta, apakah kerjaya lain yang  boleh dicuba oleh graduan rekaan grafik? Jawapan kepada persoalan ini telah saya terangkan dalam artikel di bawah.

Artikel 10 | Peluang Kerjaya Graduan Senireka

Sesi temuduga pastinya mengundang rasa tertekan kepada sesiapa sahaja yang bakal menghadapinya. Persediaan rapi diperlukan bagi mengharungi sesi temuduga tersebut. Justeru itu saya kongsikan pengalaman menghadiri sesi temuduga untuk dua jawatan berikut.

Artikel 11Temuduga Jawatan Pereka Gred B41

Kepada anda yang berminat untuk menjadi guru atau pensyarah dalam bidang senireka, perkongsian ini diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak dalam menghadapi temuduga bagi jawatan seumpamanya.

Artikel 12 | Temuduga Jawatan Guru MARA Gred DG41.

Semoga perkongsian pengalaman saya ini memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda dalam melakukan persediaan menghadapi sesi temuduga. Namun bagi mereka yang masih menunggu peluang pekerjaan, walaupun telah berusaha dengan kuat, janganlah berputus asa.

Selain dari berusaha, perlu juga kita tahu teknik menjemput rezeki untuk diamalkan sebelum kita bertawakkal dengan yang Maha Esa. Apakah teknik untuk menjemput rezeki tersebut?

Artikel 13 | 11 Cara Menjemput Rezeki

Selain bekerja makan gaji, seorang pereka grafik itu sebenarnya boleh bekerja sendiri dengan membuka sebuah perniagaan atau menjadi seorang pereka grafik secara freelance. Peluang menjana pendapat melalui aktiviti freelance sentiasa terbuka dan boleh dicuba sementara menunggu tawaran pekerjaan yang tetap.

Namun diingatkan juga, ilmu dalam menjalankan aktiviti freelance perlu dipelajari terlebih dahulu supaya ia mendatangkan hasil yang diharapkan. Antara artikel yang baik untuk anda baca ialah:

Artikel 14 | Asas Menjadi Freelancer

Sesungguhnya 9 dari 10 pintu rezeki itu datangnya melalui perniagaan. Walaupun ia sukar, namun ia sangat berbaloi untuk anda cuba. Selain dari menjadi seorang usahawan, anda juga sebenarnya menjadi 'job creater' iaitu mereka yang membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Ini sebenarnya akan memastikan kelangsungan industri rekaan grafik di Malaysia kerana wujudnya peluang pekerjaan untuk graduan lepasan rekaan grafik itu sendiri. Anda boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan berniaga secara online terlebih dahulu.

 Artikel 15 | Peraturan Perniagaan Online

Agak panjang juga coretan berkaitan dengan kerjaya, Mestilah kan, ini merupakan 'core' yang diberi penekanan setiap orang yang hidup di dunia ini. Tanpa pekerjaan manakan datangnya pendapatan untuk meneruskan kehidupan seharian.

 

Kronologi #03 | Kelangsungan

Sekiranya anda belajar dalam bidang rekaan grafik, dan seterusnya bekerja dalam industri yang berkaitan dengan rekaan grafik. Anda sebenarnya merupakan seorang duta kecil dalam memperjuangkan rekaan grafik di Malaysia.

Walaupun terdapat keluhan dan luahan kekecewaan segelintir pereka grafik untuk terus kekal berada dalam industri ini. Perjuangan tetap perlu diteruskan demi kelangsungan industri. Apakah cabaran kepada rekaan grafik di Malaysia?

Artikel 16 | 05 Tanggapan Negatif Bidang Grafik

Selain perlu terus releven dalam industri, kelangsungan industri ini juga dapat dicapai melalui peningkatan kualiti serta sifat serba boleh seseorang pereka grafik itu. Peningkatan kemahiran perlu dilakukan secara berterusan agar kualiti rekaan dapat dihasilkan.

Selain dari kemahiran menghasilkan rekaan grafik, kemahiran-kemahiran lain juga perlu dikuasai oleh anda untuk terus relevan dalam pasaran kerjaya. Antara kemahiran yang perlu anda pelajari antaranya ialah:

Artikel 17 | Gabungkan, Pereka Grafik Meletopp

 

 

Kesimpulannya

Apa yang boleh saya simpulkan di sini ialah, sekiranya anda ingin berkecimpung dalam industri rekaan grafik, semangat yang tinggi diperlukan selain dari kreativiti yang tinggi. Semangat inilah yang bakal menjadikan anda seorang pereka grafik yang disegani.

Kini, kerjaya sebagai pereka grafik terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan saingan dari pelbagai pihak. Ini kerana, ada yang beranggapan, kerjaya ini boleh digantikan dengan perisian-perisian online seperti Canva dan sebagainya. Fungsi pereka grafik dilihat terlalu kecil dan tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat.

Selain itu juga, cabaran dari ibu-bapa yang menganggap kerjaya pereka grafik tiada masa depan mengeruhkan lagi keadaan. Namun, ini semua merupakan cabaran yang perlu digalas oleh penggiat industri rekaan grafik supaya industri ini terus relevan dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Sekian. 

 

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.