User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

MARA Assessment Center (MAC).

Kali pertama saya menghadiri temuduga MARA Assessment Center (MAC) ini adalah pada tahun 2013 untuk subjek grafik / media digital di Institut Latihan Kecemerlangan MARA (ILKM) Sungai Jawi Pulau Pinang. Selepas sahaja pulang dari tempat kerja di Sepang Selangor, saya terus bergegas ke Pulau Pinang dan sampai di sana lebih kurang jam 2 pagi.


 

Untuk pengetahuan, Pada kebiasaannya semua hotel dan home stay berhampiran dengan pusat temuduga MARA akan penuh kerana calon yang sememangnya ramai. Maklumlah calon dari seluruh Negara akan mencuba nasib masing-masing di sini.

 

Oleh sebab itu, untuk kali ini temuduga di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lengong Perak, saya hanya tidur di dalam kereta di hadapan KKTM Lengong. Siap bawa kipas dan bantal untuk mendapatkan sedikit keselesaan. Tepat jam 6.00 pagi, apabila pintu gate dibuka, saya terus ke Masjid KKTM untuk solat subuh dan bersiap sedia.

Bagi mereka yang pertama kali ke MARA Assessment Center (MAC) ini, anda akan dapat lihat suasana sesi temuduga ini seperti hari pertama pendaftaran masuk ke Unversiti.

Bukan sahaja calon yang akan hadir, tetapi keluarga mereka juga akan turut hadir sebagai pembakar semangat. Maka anda boleh bayangkan berapa ramai yang akan hadir nanti, penting untuk anda hadir awal untuk mendapatkan parking kereta dan penggunaan tandas.

 

Perbezaan hadir temuduga antara tahun 2013 dan 2017

Terdapat perbezaan antara program MAC 2013 dengan MAC 2017 yang saya hadiri. Perbezaan ketara adalah pada perjalanan program temuduga ini. Berpandukan kepada slip pendaftaran ini anda dapat lihat:

 

 

Slip semasa temuduga di ILKM: Perjalanan sesi temuduga adalah seperti berikut:

Pendaftaran – Ujian Personaliti – Temuduga Berkumpulan - Micro Teaching dan Esei dalam bahasa inggeris.

 

 

Slip semasa temuduga di KKTM: Perjalanan sesi temuduga adalah seperti berikut:

Pendaftaran – Fitness Test – Temuduga Berkumpulan – Ujian Melukis – Micro Teaching dan Psychometric Test.

Anda boleh lihat semasa tahun 2013, tiada fitness test yang saya perlu hadapi tetapi ada sesi ujian penulisan esei dalam bahasa inggeris. Oleh kerana pada tahun 2017 subjek yang saya pohon ialah subjek Pendidikan Seni / Visual maka ada ujian melukis perlu saya duduki.

Seterusnya, tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah beberapa tips untuk anda yang bakal menghadiri MARA Assessment Center mengikut pengalaman peribadi saya.

  1. Sesi Pendaftaran
  • Datang awal dan dapatkan kelompok pertama supaya sesi temuduga anda berjalan dengan lancar dan mengikut aliran yang sepatutnya. Biasanya anda akan dipecahkan kepada kelompok kecil (1 kumpulan = 30 calon) dan diberikan no. ID mengikut urutan pendaftaran.
  • Persediaan psychology yang lebih baik untuk anda. Penting semua dokumen siap diisi dengan lengkap, gambar passport siap ditampal, yang perlu di-photocopy siap disahkan oleh pegawai yang selayaknya, Pen ada dakwatnya dan sebagainya yang kadang-kadang kita rasa itu perkara yang remeh.
  • Berikut merupakan senarai yang perlu anda bawa dan lengkapkan semasa menghadiri program MAC ini :

  1. Sesi Fitness Test
  • Tiada tips yang lebih baik untuk dicadangkan selain dari persediaan stamina dan makan sarapan pagi sebelum menjalani sesi ini. Buatlah sedikit sesi pemanasan badan agar badan anda bersedia untuk berlari.
  • Ujian ini diberi nama Beep test. Apa itu beep test, boleh lihat video di bawah ini.

 

 

  • Ujian ini boleh mendapat pengecualian sekiranya anda :
  1. Mengandung
  2. Period Pain
  3. Mempunyai masalah kesihatan yang mendapat kelulusan doktor.

Saya difahamkan bahawa ujian ini tiada lulus atau gagal dan ia tidak menyumbang kepada markah temuduga anda. Ia sekadar menguji tahap fitness anda sahaja.

Pesanan : Pihak MARA tidak menyediakan sarapan pagi, jadi bersarapan-lah dahulu dengan membeli bahan makanan dengan lebih awal kerana café atau kedai pun belum buka lagi. Borang beep test adalah seperti berikut:

 

  1. Sesi Micro Teaching
  • Pilihlah tajuk yang menarik dan tidak membosankan. Anda boleh memilih tajuk berdasarkan senarai topik yang ada di dalam subjek pilihan anda. Elakkan memilih tajuk yang tiada dalam topik subjek anda.
  • Elakkan memilih tajuk yang terlalu senang atau terlalu susah. Bayangkan kalau tajuk yang anda pilih itu juga dipilih oleh calon yang lain sebab ia terlalu mudah untuk diajar. Kalau ramai yang buat tajuk yang sama tak ke bakal membosankan panel penemuduga.
  • Rancangan Pengajaran Harian / Teaching Plan / Lesson Plan perlu disediakan dengan kemas dan betul. Biasanya ada 2 panel penemuduga yang terlibat untuk sesi ini. Maka buat lah 2 salinan untuk diberi kepada mereka. Dulu, masa temuduga kali pertama, saya memang tak sempat nak sediakan RPH ini. Kiranya main hantam je mengajar depan panel masa itu. Mungkin sebab itu markah saya tidak tinggi untuk sesi ini. Oleh yang demikian, untuk kali yang kedua ini saya sediakan dengan sebaik mungkin. Beginilah rupa RPH yang saya sediakan.

  • Nota / Handout / bahan mengajar : Sekiranya anda sebagai pelajar, pastinya anda inginkan nota atau handout dari guru anda. Sama-lah kesnya dengan panel penemuduga ini. Sediakan handout untuk mereka. At least mereka tidak tumpu 100% melihat muka anda semasa mengajar nanti.
  • Alat Bantu Mengajar [ABM] : Kedua-dua tahun temuduga yang saya hadiri, pihak MARA hanya menyediakan papan putih dan marker pen sahaja. Jadi, anda perlu bawa alat bantu mengajar tambahan untuk topik yang anda ingin ajar.

Semasa sesi ini, anda akan lihat calon-calon dari maktab perguruan, institusi perguruan malahan calon-calon ijazah dalam bidang pendidikan akan membawa alat bantu mengajar mereka yang hebat-hebat. Mungkin mereka telah terdedah dengan ABM ini secara lebih terperinci. Disebabkan itu, semasa temuduga kali kedua ini saya pun tak nak kalah. 2 beg khas untuk alat bantu mengajar saya bawa pada kali ini.

  • Suara: Walaupun panel penemuduga itu duduk berhampiran dengan anda, sila bayangkan mereka jauh dengan anda. Suara perlu lantang dan kuat tetapi bukan menjerit terlolong. Ada beza tu ye.
  • Untuk memudahkan anda mengetahui apa yang dilihat serta dinilai dalam sesi ini, boleh lihat borang pemarkahannya di bawah ini.

 

 

  1. Sesi Temuduga Berkumpulan.
  • Tidak banyak tips yang boleh saya kongsikan kerana perjalanan sesi ini tiada beza dengan sesi temuduga di syarikat yang lain. 5 calon akan berhadapan dengan 3 panel penemuduga.
  • Soalan Wajib : Sila kenalkan diri anda. Tips menjawab soalan ini antaranya terus bercerita mengenai pengalaman bekerja anda serta sumbangan anda kepada pembangunan syarikat tersebut.
  • Semasa temuduga untuk subjek grafik / media digital di ILKM, panel ada bertanya mengenai pengalaman berniaga, pengalaman membuka perniagaan atau syarikat. Menurutnya, MARA lebih mencadangkan calon yang mempunyai pengalaman industri serta pengalaman menjalankan perniagaan.

Dari pengalaman temuduga pertama tersebut, saya telah membuka perniagaan sendiri (derekacreative.com) secara sambilan sejak 2014 untuk menyahut saranan dari MARA. Tetapi, pada temuduga kali kedua ini, semasa saya bercerita pengalaman diri, saya ada bercerita pengalaman membuka syarikat ini, namun panel menyatakan saya dah terjamin masa depan dengan kerjaya yang ada dan boleh memberi peluang kepada calon-calon yang lain. Confius pulak saya mendengarnya.

  • Soalan berkaitan MARA : Untuk kedua-dua tahun temuduga – TIADA
  • Soalan berkaitan Isu Semasa : Banyak sekali. Masa temuduga di Perak, soalan sukan SEA menjadi pilihan panel. Aduhai.
  • Calon yang sedang bekerja sila sedia jawapan kenapa nak beralih arah.
  • Bahasa Penghantar : Masa di Pulau Pinang, all in English tetapi masa di Lenggong Perak, dalam bahasa melayu. Mungkin ikut keselesaan panel nak jalankan dalam bahasa apa.
  • Sila baca dan teliti borang penilaian temuduga di bawah ini. Secara rasionalnya agak sukar panel untuk menilai anda secara terperinci kerana anda ber lima dalam sesi berkenaan. Jadi, anda perlu berbeza dan memonopoli sesi ini supaya panel kenal anda dan dapat membezakan anda dari calon yang lain. Setiap soalan yang diajukan sila pantaskan mengangkat tangan dan tak salah membuat lawak yang mampu membuat panel tergelak lalu mengingati anda.

  1. Psychometric Test.
  • Ini adalah umpama soalan psychology kendiri. Tiada jawapan yang salah atau betul, namun tips nya ialah : Jawapan anda perlu konsisten. Jangan jadi umpama lalang. Soalan memang berbeza tetapi ini menguji perkara atau nilai yang sama dalam diri anda. Dan soalan itu adakalanya menjurus kepada jawapan yang sama berulang kali.
  • Tips seterusnya, baca dan jawap tanpa berfikir panjang.

 

  1. Ujian Melukis
  • Bawa peralatan melukis dan mewarna anda sendiri beserta kertas lukisan bersaiz A3.
  • Bukan tidak boleh meminjam, tetapi ia memperlihatkan tahap persediaan anda.
  • Semasa sesi ini, ujian lukisan saya berkonsepkan Still Life. Setengah jam sahaja yang diberi. Lukis dengan kelajuan maksimum supaya cepat siap.

 

Kesimpulan:

Itu sahaja tips yang tidak seberapa yang sempat saya kongsikan. Saya menulis mengikut pengalaman saya sendiri dan saya rasa amat seronok mengikut sesi temuduga ini. Selain dari dapat menimba pengalaman, saya juga dapat berjumpa dengan pelbagai jenis calon yang hadir.

Persaingan memang amat sengit kerana calon-calon yang hadir adalah dari pelbagai latarbelakang pendidikan. Ada calon yang memang dari maktab perguruan, ada yang dari institut perguruan, ada yang dari program sarjana muda pendidikan dan ada juga yang mempunyai ijazah sarjana.

Tidak kurang juga yang mempunyai pengalaman mengajar di IPTA dan IPTS selama bertahun-tahun, juga turut menyertai program temuduga MAC ini.

Kesimpulannya, persediaan yang cukup rapi perlu dibuat supaya kesilapan serta kekurangan dapat dielakkan. Latihan seperti teknik mengajar, latihan stamina, latihan melukis dan sebagainya perlu dibuat dengan cukup.

Dengan persaingan yang amat sengit ini, doa yang berterusan agar dikurniakan rezeki bersama dengan pihak MARA tidak putus dari bibir. Selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh, tawakal secara konsisten adalah jalan yang terbaik untuk menemani penantian keputusan temuduga guru mara 2017 ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Aminn.

Berikut adalah panduan yang diberikan oleh pihak MARA untuk anda sebelum menghadiri MARA Assessment Center ini:

 

 

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.