User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Peluang Kerjaya Graduan Senireka.

Mutakhir ini saya menerima banyak pertanyaan berkenaan dengan peluang kerjaya untuk graduan lepasan senireka grafik atau rekaan grafik selain daripada menjalankan perniagaan sendiri seperti yang saya sering cadangkan dalam artikel-artikel saya sebelum ini. 

Bidang senireka grafik ini pada kebiasaanya mempunyai lebih banyak permintaan di sektor-sektor swasta berbanding di sektor-sektor awam. Walaubagaimanapun, saya ingin berkongsi maklumat kerjaya untuk kedua-dua sektor supaya para graduan lepasan senireka grafik mendapat gambaran yang lebih luas mengenai peluang kerjaya mereka di Malaysia tercinta ini.

Peluang-peluang kerjaya yang boleh direbut oleh para graduan lepasan senireka grafik di dalam mahupun di luar Negara bertitik tolak dari kemahiran yang mereka miliki. Istilah ‘direbut’ yang saya gunakan adalah untuk mencerminkan persaingan yang begitu sengit di dalam alam pekerjaan yang perlu dihadapi oleh para graduan.

Manakala Istilah ‘graduan’ yang digunakan adalah bagi mewakili anda yang bertanya mengenai peluang pekerjaan dalam bidang senireka grafik ini. Pastinya istilah graduan adalah untuk mereka yang lepasan sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda.

Sumber yang saya perolehi daripada laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA menyatakan serta mengariskan, para graduan yang mempunyai sijil kemahiran, diploma dan ijazah dalam bidang senireka grafik boleh bekerja di sektor-sektor awam untuk jawatan-jawatan berikut:

 

#01 Jawatan Sebagai Pereka.

Kumpulan Perkhidmatan : Pengurusan & Profesional, Pelaksana (Skim Perkhidmatan Bersepadu) | Gred : B19, B21, B25, B29, B31, B37, B41, B47, B51 , B53.

 

 

Jawatan sebagai Pereka ini dikategorikan di dalam kelayakkan bakat sama seperti jawatan Ahli Muzik, Artis Budaya, Jurufotografi, Jurusolek dan sebagainya. Kebiasaannya bagi mereka yang lepasan sijil kemahiran, gred penjawatan bermula dengan gred B19, lepasan diploma gred B29 manakala lepasan Ijazah Sarjana Muda pula ber-gred B41.

Peningkatan gred seterusnya ditentukan melalui pengalaman bekerja, prestasi semasa dan juga kekosongan yang ada. Menurut pemerhatian saya, kebanyakkan kekosongan jawatan pereka ini adalah pada gred B19.

Ini kerana, secara rasionalnya, jawatan pereka lebih tertumpu kepada kaedah lantikkan terus di mana anda perlu bermula dengan gred yang bawah iaitu gred B19 terlebih dahulu dan kemudiannya akan memohon lantikkan terus yang mengikut kelayakkan akademik anda.

Terdapat beberapa syarat tambahan untuk lantikkan terus ini seperti tempoh pengalaman bekerja, tahap criteria kecemerlangan yang ditetapkan oleh ketua jabatan, had umur, serta kekosongan yang ada.

Dalam bidang rekaan terutamanya rekaan grafik, pastinya ia senonim dengan persoalan sejauh manakah kemahiran seseorang individu itu untuk diterima kerja dan memegang jawatan yang tinggi.

Sekiranya melihat kepada kelayakkan akademik sahaja, ia sememangnya bukan ukuran sebenar kepada cerminan kemahiran seseorang pereka grafik itu, ia bergantung kepada bakat, pengalaman serta latihan berterusan untuk menghasilkan rekaan yang berkualiti dan berkesan.

Maka, untuk ke gred penjawatan yang lebih tinggi, melihat pada kelayakkan akedemik semata-mata adalah tidak praktikal, mungkin disebabkan itu kaedah lantikan terus lebih menjamin kualiti seseorang pereka. Jawatan ini mempunyai temuduga khas untuk menilai kemahiran calon selain dari soalan kompentensi yang dibuat secara dalam talian.

 

#02 Jawatan Sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan / Pengajian Tinggi.

Kumpulan Perkhidmatan : Pengurusan & Profesional, Pelaksana (Skim Perkhidmatan Bersepadu) | Gred : DG29, DG31, DG32, DG33, DG34, DG39, DG40, DG41, DG42, DG43, DG44, DG47, DG28, DG51, DG52, DG53, DG54.

 

 

Jawatan ini merupakan jawatan yang menjadi rebutan utama bagi bidang ini. Nama lainnya ialah jawatan sebagai guru atau tenaga pengajar yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah awam mahupun di institusi-institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi bukan di universiti-universiti awam kerana pengambilan pensyarah di universiti awam bukan di bawah kelolan SPA tetapi di bawah universiti berkenaan.

Terdapat perbezaan antara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dengan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi. Selain berbeza dari segi gred iaitu DG dan DH, jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan biasanya akan menjadi seorang guru. Manakala Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi adalah jawatan bukan guru.

Mengikut pengalaman saya, terdapat 3 kategori yang perlu diketahui oleh anda yang berminat untuk merebut jawatan ini.

  1. Kategori memohon sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah-sekolah awam. Pemohon perlu memohon secara online di SPA dan temuduga akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Temuduga biasanya dijalankan secara berpusat.
  2. Kategori memohon sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Institut Pendidikan MARA atau IPMa termasuk di Maktab Rendah Sains MARA. Pemohon perlu memohon secara online di website Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pengambilan dan temuduga dikendalikan oleh pihak MARA sendiri. Temuduga juga akan dijalankan secara berpusat yang dikenali sebagai MAC (Mara Assessment Center).
  3. Kategori memohon sebagai Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi di Politeknik-politeknik dan Kolej Komuniti. Pemohon perlu memohon secara online di website SPA dan temuduga akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Temuduga akan dijalankan secara berpusat.

Oleh kerana jawatan ini menggunakan perkataan ‘pendidikan’ maka akan wujud persaingan oleh calon-calon dari institusi atau maktab perguruan dan program-program ijazah pendidikan di peringkat universiti.

Persaingan yang amat sengit bakal dihadapi oleh calon yang hanya mempunyai diploma mahupun ijazah tanpa mempunyai diploma pendidikan ini. Hanya pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan ataupun yang berkaitan dapat dipertimbangkan untuk bersaing merebut jawatan ini.

Pada kebiasaanya, temuduga untuk jawatan ini mempunyai beberapa peringkat iaitu:

  1. Ujian Kompentensi (berkomputer / online)
  2. Ujian Kecergasan (Fitness Test)
  3. Ujian Micro Teaching
  4. Temuduga Lisan
  5. Ujian psikometrik

Dan pada kebiasaannya juga, jumlah calon yang hadir adalah sangat ramai sehingga mencecah ratusan calon untuk suatu subjek atau program yang ditawarkan. Manakala permohonan online yang diterima mencecah ribuan permohonan untuk sesuatu sesi ambilan.

Seandainya anda berjaya menerima panggilan temuduga berpusat, anda boleh berbangga dengan pencapaian anda kerana anda adalah insan terpilih dari ribuan permohonan.

Itulah ayat panel penemuduga semasa saya hadiri temuduga jawatan ini. Mungkin untuk menyedapkan hati calon sahaja, agaknya. Namun, semuanya pasti bergantung kepada rezeki dan prestasi anda semasa sesi temuduga.

Sedikit kesilapan atau kekurangan pastinya bakal mengakibatkan anda terlepas jawatan ini. Persediaan yang rapi diperlukan untuk menghadapi temuduga berpusat seperti ini. Antara subjek yang boleh dipohon oleh graduan lepasan senireka grafik dalam penjawatan ini ialah seperti:

  1. Subjek di peringkat Sekolah Menengah Rendah termasuk di MRSM:
  • Pendidikan Seni
  1. Subjek di peringkat Sekolah Menengah Tinggi termasuk di MRSM:
  • Subjek Elektif Rekacipta
  • Subjek Khas Seni Reka
  1. Program di Politeknik:
  • Diploma Rekabentuk Grafik (Politenik Sultan Ibrahim, Johor & Politeknik Muadzam Shah, Pahang.)
  1. Program di Kolej Komuniti:
  • Sijil Animasi
  • Sijil Multimedia Kreatif
  • Sijil Seni Visual Kreatif
  • Diploma in Games Art
  1. Program di Institut Pendidikan MARA (IPMa)

 

#03 Jawatan Sebagai Kurator

Kumpulan Perkhidmatan : Pengurusan & Profesional. | Gred : S29, S41

Kurator sememangnya tidak se-popular dua jawatan seperti yang saya terangkan di atas tadi. Namun graduan lepasan rekaan grafik boleh mencuba untuk menjawat jawatan ini. Antara tugas-tugas seorang kurator bagi mereka yang masih belum tahu ialah :

Jawatan ini melibatkan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti permuziuman seperti pameran, pemuliharaan dan konservasi benda-benda purba, penyelidikan arkeologi, flora dan fauna, kebudayaan negara, memberi khidmat nasihat permuziuman serta menyediakan laporan hasil kajian penyelidikan.

Jadi, bagi anda yang berminat dengan skop tugas sebagai seorang Kurator boleh memohon kerana dengan diploma dan ijazah dalam bidang rekaan grafik melayakkan anda untuk menjadi seorang Kurator. Melalui pembacaan serta pengalaman saya, hanya 3 jawatan ini sahaja yang boleh dijawat oleh graduan lepasan rekaan grafik di dalam sektor perkhidmatan awam.

 

Lain-lain Kerjaya

Selain daripada itu, terdapat juga jawatan dalam sektor awam yang bersifat umum yang boleh dicuba oleh anda asalkan mempunyai minat dan layak mengikut ciri-ciri tambahan yang diperlukan. Antara jawatan itu adalah:

  1. Jawatan di dalam badan beruniform contohnya:
  • Pegawai Polis
  • Pegawai Tentera
  • Pegawai Kastam
  • Pegawai Imigresen
  • Pegawai JPJ
  • Pegawai Penjara
  • Pegawai Bomba
  • Pegawai SPRM
  • etc
  1. Dan mana-mana jawatan yang hanya memerlukan diploma atau ijazah dalam mana-mana bidang. Anda boleh meneruskan pembacaan di laman rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mengetahui senarainya.

 

Kerjaya di Sektor Swasta.

Baiklah, seterusnya mari kita lihat pula jawatan yang boleh direbut di sektor swasta. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, terdapat banyak jawatan yang boleh direbut oleh graduan lepasan rekaan grafik tetapi, perlu juga saya ingatkan ia tidak semudah yang anda jangka kerana sektor swasta memerlukan calon yang:

  1. Mempunyai kemahiran yang tinggi dan bukan hanya gred akedemik yang tinggi.
  2. Mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya 2 tahun.
  3. Mempunyai kemahiran tambahan yang lain seperti:
  • Kemahiran pemasaran / pemasaran digital.
  • Kemahiran membina laman web.
  • Kemahiran videografi.
  • Kemahiran fotografi.
  • Kemahiran perisian.
  • Kemahiran illustrasi manual mahupun digital.
  • Kemahiran animasi 2D / 3D.
  • Kemahiran bahasa (English, Mandarin dan etc).
  1. Mampu berdikari dan bekerja dalam pengawasan yang minima.
  2. Mampu mencapai KPI dan dateline yang ketat.
  3. Sedia dibuang kerja pada bila-bila masa andai tidak mencapai KPI.
  4. Sanggup bermula dengan gaji minima.
  5. Sanggup bekerja dibawah tekanan dan lebih masa dari yang sepatutnya.

Dan seumpamanya yang ditetapkan oleh majikan anda. Hampir ke semua agensi atau syarikat swasta memerlukan calon yang mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Walaubagaimanapun, kebanyakkan syarikat swasta dari masa ke semasa akan memberi latihan kepada pekerja mereka untuk sentiasa up-to-date dari segi kemahiran dan ilmu rekaan termasuk perisian.

 

Saya tidak menyatakan bahawa sektor awam tidak memerlukan ciri-ciri pekerja seperti di dalam sektor swasta, tetapi kebiasaanya sektor awam tidak ‘se-kejam’ sektor swasta yang berorentasikan keuntungan semata-mata. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan penilaian saya, namun kepada mereka yang pernah bekerja di kedua-dua sektor pasti anda boleh rasai perbezaannya.

Jawatan dalam sektor swasta biasanya hanya menawarkan satu nama jawatan sahaja iaitu sebagai pereka grafik. Tetapi ada kalanya jawatan tersebut mempunyai tambahan atau gabungan dengan jawatan lain seperti:

  • Jawatan Graphic Designer Cum Marketer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Photographer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Web Designer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Visualizer
  • Jawatan Graphic Designer Cum etc….

Atau jawatan yang lebih tinggi tetapi jarang ditawarkan atas sebab-sebab faktor pengalaman dan kemahiran yang sangat tinggi diperlukan. Biasanya ia diisi oleh staff atau pereka yang sedia ada yang telah berkhidmat lama dengan syarikat dan telah menunjukkan prestasi yang membanggakan syarikat. Ia adalah kenaikkan pangkat pekerja dari pereka grafik ke jawatan :

  • Art Director
  • Creative Director

Seperti juga di sektor awam, selain dari jawatan pereka grafik, anda juga boleh menggunakan diploma dan ijazah anda untuk bekerja di jawatan-jawatan yang memerlukan diploma atau ijazah dalam apa-apa bidang sekalipun. Jawatan-jawatan ini boleh anda cari sendiri melalui pembacaan di laman-laman web penyedia iklan jawatan kosong. 

 

Related Article | Berapakah Gaji Pereka Grafik?

 

Kesimpulannya

Diharapkan perkongsian ini memberi manfaat kepada anda bagi mengetahui peluang-peluang pekerjaan untuk graduan lepasan senireka grafik di sektor awam mahupun swasta. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing yang telah ditentukan oleh Maha Esa.

Adakalanya apa yang kita usahakan tidak membuahkan hasil tetapi percayalah , setiap yang telah ditetapkan adalah yang terbaik untuk kita. Bersyukurlah. Sekian.

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.