Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

06 Produk Untuk Pereka Grafik

Majoriti graduan senilukis & senireka terutamanya senireka grafik memilih untuk bekerja dengan syarikat-syarikat berkaitan rekaan dan percetakkan. Ada juga yang memilih menjadi seorang freelancer secara part time ataupun full time dan ada juga yang terjun dalam bidang perniagaan.

Skop bidang kerjaya seorang pereka grafik yang luas merupakan satu kelebihan untuk kita melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Ada juga yang menjalankan perniagaan sambil makan gaji demi menampung kos kehidupan masa kini.

Namun persoalannya, sampai bilakah kita perlu menjadi seorang pereka grafik sepenuh masa? Bagi mereka yang ada pengalaman makan gaji, memberi perkhidmatan rekaan kepada pelbagai jenis syarikat pastinya memberi tekanan yang tersendiri. Ditambah lagi dengan masa kerja yang agak mencabar sehingga 12 jam sehari atau mungkin lebih.

Bagi seorang freelancer pula, cabaran berurusan dengan pelanggan yang pelbagai karenah demi mendapatkan upah yang ada kalanya berbaloi dan ada kalanya tak berbaloi boleh menjadi mimpi ngeri.

Hakikatnya, hasil rekaan grafik di Malaysia masih belum mendapat tempat yang sepatutnya dengan upah yang tidak menentu harganya dan pandangan masyarakat yang mengangap rekaan grafik itu mudah dan sepatutnya murah.

Dengan adanya teknologi terkini dan medium pemasaran yang luas, kita boleh mula menggunakan kemahiran dan kreativiti kita untuk membina produk sendiri dan mula mengkomersialkannya. Apakah produk yang boleh dihasilkan oleh pereka grafik? Selain dari mengambil produk orang lain seperti biskut, kerepek, air minuman, dan lain-lain.

Berikut adalah idea produk yang boleh kita hasilkan. Menghasilkan readymade design untuk dibeli oleh orang ramai adalah produk yang boleh dicuba oleh pereka grafik.

 

Idea Produk #1: Kalender

 

Produk yang boleh direka setiap tahun. Kalender merupakan produk pertama yang orang ramai akan cari setiap kali bermulanya tahun baru kerana ia adalah satu keperluan yang mempunyai permintaan.

Peluang untuk anda menghasilkan rekaan kalender yang unik dan menarik mengikut sasaran pelanggan anda sentiasa terbuka luas. Hasilkannya mengikut kreativiti dan kemahiran rekaan anda. Mulakan dengan mengenalpasti siapa pembeli sasaran anda dan mula menghasilkan rekaan kalender anda sendiri.

 

Idea Produk #2: Sampul Duit Raya.

 

Kemeriahan hari raya tidak lengkap tanpa pemberiaan duit raya. Pastinya ramai yang tercari-cari rekaan sampul duit raya yang unik dan menarik. Justeru itu, peluang untuk pereka grafik yang kreatif seperti anda sentiasa terbuka.

Hasilkan rekaan sampul duit raya yang exclusive untuk para CEO syarikat, hasilkan rekaan superhero atau kartun untuk kanak-kanak, hasilkan rekaan unik untuk hipster-hipster di luar sana. Anda juga boleh menghasilkan rekaan sampul duit raya untuk perayaan kaum lain. Manalah tahu dapat sambutan yang hangat.

 

Idea Produk #3: Road tax Sticker.

Sebagai pengguna kereta, menampal road tax tanpa menggunakan tambahan sticker bakal menjejaskan road tax mahupun cermin kereta kita. Kebiasaanya, rekaan dari syarikat insuranlah yang akan menghiasi cermin hadapan kereta kita.

Apa kata, anda mula menghasilkan rekaan road tax sticker yang lebih cantik seperti rekaan kenegerian atau rekaan dari pasukan bola sepak tempatan mahupun luar negara, atau rekaan unik dari kreativiti anda sendiri.

 

Idea Produk #4: Barangan Silkscreen.

Tidak dinafikan rekaan t-shirt dan beg mempunyai persaingan yang hebat kerana telah ramai pereka yang mengeluarkan rekaan mereka sendiri. Namun dengan idea kreatif anda rekaan anda mungkin mampu menyaingi rekaan yang telah sedia ada di pasaran.

Mungkin juga anda boleh mengecilkan skop pelanggan kepada t-shirt atu beg kanak-kanak atau t-shirt penyokong bola sepak tempatan atau rekaan t-shirt peminat industri permotoran.

 

Idea Produk #5: Wallpaper

Selain rekaan untuk rumah kediaman. Anda juga boleh menghasilkan rekaan kertas dinding khas untuk taska, tadika atau rumah asuhan kanak-kanak dengan menggunakan konsep ceria anda sendiri. Manalah tahu ramai pengusaha taska atau tadika berminat untuk membelinya. Pastikan ia juga boleh dihias untuk bilik-bilik kanak-kanak di rumah.

 

Idea Produk #6: Cenderahati

Menghasilkan sticker terima kasih yang cantik serta unik serta lain dari yang lain pastinya dicari-cari oleh mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga. Sticker ini pastinya akan memberi kemudahan kepada mereka yang ingin menghasilkan goodies bag, souvenir dan sebagainya.

 

Kesimpulannya:

Setiap produk pastinya memerlukan strategi pemasaran yang betul dan berkesan serta usaha pembangunan yang berterusan. Sekiranya kurang ilmu dalam bidang tersebut, hadirilah bengkel-bengkel bagi meningkatkan ilmu tersebut. Jangan kedekut melaburkan wang ringgit untuk ilmu.

Tetapi ingat, hasil dari keuntungan produk itu haruskan digunakan dengan bijak dan digunakan untuk membeli asset sebenar seperti rumah atau dilaburkan ke dalam pasaran saham yang menguntungkan.

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.