Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kesilapan Graduan Muda.

Selepas tamat pengajian, bermulalah episod suka duka kehidupan bagi graduan Universiti. Ramai di antara mereka mula mencari pekerjaan dan ada juga yang mengambil keputusan untuk berehat seketika dengan pergi melancong ke luar negara atau hanya sekadar duduk di rumah menghabiskan beras dan ‘menanam anggur’.

Pahit getir yang dilalui dalam usaha menamatkan pengajian selama 3 hingga 5 tahun dirasakan cukup mencabar. Namun ianya tidak menjamin kesenangan yang diharapkan apabila berada di alam pekerjaan.

Mengelak dari melakukan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh graduan muda adalah satu langkah bijak bagi memastikan angan-angan dan cita-cita anda tercapai.

 

Kesilapan #1: Tanggapan ‘Habis Belajar’.

Hakikatnya, selepas sahaja tamat pengajian, ia sebenarnya suatu permulaan baru kepada realiti kehidupan yang sebenar. Tamat pengajian tidak bermakna anda tamat dari mempelajari sesuatu yang baru, malah masih terlalu banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam alam pekerjaan.

Usaha memburu ilmu pengetahuan haruslah diteruskan dengan menyertai bengkel-bengkel kemahiran jangka pendek tidak kiralah yang percuma mahupun yang berbayar. Tambahkan kemahiran anda dan tajamkan kemahiran yang sedia ada terutamanya kemahiran software, komunikasi, perniagaan dan sebagainya.

Memetik kata-kata jutawan terkenal:

Tempat terhangat untuk melabur RM1000, RM5000 atau RM10 000 ialah laburkan pada diri anda sendiri, gunakan wang itu untuk meningkatkan ilmu anda dalam mencari pendapatan yang lebih. –Irfan Khairi

Laburkan wang anda pada ilmu dengan membaca buku, menghadiri kursus, membeli CD motivasi dan sebagainya yang dapat meningkatkan keupayaan anda menjana pendapatan lebih.

Jangan kedekut dalam melabur pada ilmu kerana pulangan yang anda akan dapat adalah berkali-kali gandanya. Persoalannya, berapa ringgitkah yang anda peruntukkan dari gaji bulanan anda untuk menambahkan ilmu anda?

 

Kesilapan #2 : Keluar Dari Bidang.

Saya sangat bersetuju dengan saranan kerajaan bahawa graduan tidak sepatutnya memilih pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang tak menentu sekarang, tetapi dalam bidang seni kreatif ini, untuk terus kekal dalam bidang adalah sesuatu yang amat penting.

Anda telah bertungkus lumus mendalami bidang ini selama 3 hingga 5 tahun, apa akan terjadi sekiranya anda meninggalkannya untuk jangka masa 1 tahun atau 2 tahun atau dalam jangka masa yang lebih panjang lagi?

Pastinya, banyak perkara asas yang anda akan lupa termasuk asas rekaan, typography, penggunaan software-software dan banyak lagi. Begitu juga dengan semangat anda untuk kembali berkecimpung dalam bidang kreatif ini. Mungkin akan terkubur selamanya.

Benar, jangan terlalu memilih kerjaya, tetapi pastikan anda memilih untuk terus bekerjaya dalam bidang ini dan tidak sesekali keluar dan melupakan bidang yang menarik ini. Anda akan terasa ruginya pada suatu hari nanti.

 

Kesilapan #3: Meletakkan Nilai Yang Salah.

Walaupun anda diketegorikan sebagai amatur kerana baru tamat pengajian, ia bukan alasan untuk anda dibayar murah atau bekerja dengan percuma. Sekiranya anda seorang freelancer, letakkan nilai yang sepatutnya untuk setiap perkhidmatan yang anda tawarkan.

Buat sedikit kajian berkenaan dengan harga pasaran supaya anda tidak meletakkan harga terlalu rendah mahupun terlalu tinggi. Menggunakan alasan ‘sekadar mencari pengalaman’ untuk meletakkan harga yang murah atau percuma adalah tidak wajar.

Anda masih memerlukan kos untuk meneruskan kehidupan di dunia ini. Ada hutang yang perlu dibayar, ada bil yang perlu diselesaikan, ada tanggungan yang perlu disara. Betul tak?

Berhenti memberi perkhidmatan terlalu murah atau percuma, kerana kemahiran yang anda perolehi hari ini bukannya murah atau percuma. Letakkan nilai yang betul kepada diri dan kemahiran anda sendiri.

 

Kesilapan #4: Tiada Perancangan Hidup.

Selepas tamat pengajian, penting untuk anda merancang kehidupan dari segi kerjaya atau perniagaan, kehidupan berkeluarga, kewangan, kesihatan, spiritual dan persaraan.

Ramai antara graduan muda tidak membuat perancangan dan hanya mengikut arus kehidupan. Untung sabut biarlah ia timbul, andai untung batu, redha lah ia tenggelam Gagal merancang adalah umpama merancang untuk gagal.

Anda seharusnya telah mempunyai rancangan terperinci demi kehidupan yang lebih baik. Usah pandang remeh dengan perkahwinan lewat (terutamanya wanita), usah pandang mudah dengan simpanan hari tua, usah pandang enteng dengan level kesihatan anda. Ambilah perhatian serius dengan masa dan waktu yang kita habis atau bazirkan di usia muda ini.

 

Kesimpulannya

Kehidupan kita bertambah baik hanya apabila kita menjadi bertambah baik. Apakah pengetahuan dan kemahiran tambahan yang diperlukan bagi meningkatkan kualiti kehidupan peribadi kita? Apakah strategi peribadi anda untuk elak melakukan kesilapan-kesilapan ini? Mula mencari jawapannya sekarang.

 

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.