Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

05 Tanggapan Negatif Bidang Grafik

Luahan dari pereka grafik di luar sana dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, antaranya melalui status media sosial, blog, forum malahan ada yang diterjemahkan dalam bentuk sebuah lukisan.

Bidang kreatif kini dipandang sepi, tanggapan negatif seperti bidang kreatif ini adalah mudah dan murah menjadi duri dalam daging dalam industri kreatif terutamanya rekaan grafik. Di manakah puncanya?

Walaupun kursus atau pengajian dalam bidang senireka grafik tumbuh umpama cendawan selepas hujan, namun hakikatnya bidang ini masih belum mendapat pembelaan yang sepatutnya kerana masih dihantui dengan tanggapan-tanggapan negatif seperti:-

Tanggapan #1: Bidang Kreatif Ini Mudah.

Di awal persekolahan lagi, kita sering mendengar ayat-ayat sebegini oleh orang sekeliling kita, malahan dari ibu-bapa kita juga :

“ Alahai, subjek lukisan pun boleh gagal? kan kacang je, lukis je pun”,“ Pelajar kelas bawah, sila ambil aliran seni ye..”,“ Mahalnya lukisan Pablo Picasso tu, macam budak tadika pun boleh buat kan”, “ Anak saya belajar Adobe ini masa umur 10 tahun tau, masa kem cuti sekolah dulu”, “ Keputusan SPM macam ni, layak masuk aliran seni je tau”

Ini adalah antara sebab mengapa bidang kreatif tidak dihormati seperti bidang kejuruteraan atau kedoktoran. Masih ramai mereka di luar sana memandang bidang kreatif ini sebelah mata sahaja. Bidang yang tidak layak dibayar mahal.

 

Tanggapan #2: Bidang Kreatif Hanya Untuk Pelajar Lemah Belajar.

Selepas SPM, sekiranya keputusan agak mengecewakan, pilihan yang ada hanya bidang seni. Pilihan bukan atas dasar minat, tetapi terpaksa. Semestinya pada mata ibu bapa dan masyarakat, bidang seni adalah untuk pelajar-pelajar yang lemah. Sehingga profession seni juga dipandang murah. Bidang yang tidak layak dibayar mahal.

 

Tanggapan #3: Bidang Yang Tidak Sepatutnya Gagal.

Satu lagi tanggapan seni itu a pieces of cake dari bos-bos institusi pengajian tinggi, tidak kira yang awam atau swasta. Tanggapan bidang seni ini tidak sepatutnya ada yang gagal kerana bidang seni ini tiada betul atau salah, ia tiada perkiraan, ia tiada peperiksaan dan mana mungkin ada pelajar yang sepatutnya gagal. Namun, fakta seni adalah bersifat subjektif. Adakah perkara yang subjektif itu mudah diukur sebenarnya, fikirkan?

 

Tanggapan #4: Graduan Seni Tiada Masa Depan.

Tanggapan bidang ini tiada masa depan adalah bermula apabila tanggapan lambakkan graduan seni tiada pekerjaan. Setiap kali konvokesyen, ratusan mahalah ribuan graduan bidang seni dilahirkan. Menambahkan lagi sensara industri kreatif apabila perang harga atau buang harga berlaku dengan berleluasa sehinggakan perkhidmatan rekaan percuma menjadi satu kebiasaan.

 

Tanggapan #5: Semua Orang Boleh 'Design'.

Tanggapan bahawa semua orang boleh menghasilkan 'design' bukan hanya dialami oleh bidang rekaan grafik sahaja, malah rekaan lain seperti rekaan fesyen, fotografi juga tidak berkecuali. Bukan hanya mereka dari bidang seni, tetapi mereka dari pelbagai bidang juga boleh menghasilkannya.

Ada yang beranggapan bidang rekaan ini boleh pelajari melalui youtube serta boleh mempelajarinya dalam masa yang singkat melalui VCD dan buku-buku yang ada dipasaran. Maka, bidang yang sekali lagi tidak layak dibayar mahal.

Sampai bilakah tanggapan ini akan berterusan? Sejauh manakah kebenarannya? Tepuk dada tanyalah selera.

© 2016-2018 derekacreative. All Rights Reserved.